Perkukuh kerjasama serantau dalam mewujudkan pelaburan pertanian ASEAN



Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

 





VIENTIANE, LAO PDR, Jumaat, 26 April. - Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck; dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed bagi menyertai Bengkel Kerja bertajuk 'AIPA-FAO-IISD Joint Workshop on the Implementation of the ASEAN Guidelines on Promoting Responsible Investment in Food, Agriculture, and Forestry Sectors' yang diadakan di Vientiane, Lao PDR bermula pada 24 hingga 25 April 2024.

 

Bengkel berkenaan bertujuan untuk memperkukuh kerjasama serantau antara parlimen dalam mewujudkan pelaburan pertanian bertanggungjawab (responsible investment in agriculture) di rantau ASEAN.

 

Bengkel Kerja berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha bersama antara ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA), Food and Agriculture Organization (FAO) dan International Institute of Sustainable Development (IISD) dengan menyasarkan para ahli parlimen bagi memperkukuh penglibatan mereka dalam proses pembentukan pelan tindakan bagi pelaksanaan ASEAN RAI di peringkat parlimen.

 

Dalam Bengkel Kerja berkenaan, para ahli parlimen terdiri daripada negara anggota ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) termasuk MMN telah mendalami isu-isu penting yang berkaitan dengan pelaburan pertanian bertanggungjawab di rantau ini.

 

Antara lain juga, para perwakilan telah menyertai sesi perbincangan yang telah memberi ruang bagi pertukaran dan perkongsian pandangan dan pengalaman serta menyediakan sebuah pelan tindakan yang akan dijadikan sebagai satu garis panduan bagi parlimen-parlimen serantau dalam memainkan peranan penting dalam menggalakkan pelaburan bertanggungjawab dalam sektor berkenaan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

 

Hasil daripada Bengkel Kerja berkenaan akan dibincangkan untuk diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA yang akan diadakan pada akhir tahun ini.


Close